KEHIDUPAN DAN DIDIKAN YANG DITERIMA OLEH
RASULULLAH
·
Daripada Keturunan Yang Mulia
Bani Hasyim
merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia. Manakala Quraisy pula adalah
kabilah 'Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih. Mereka juga memiliki kedudukan
yang paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Diriwayatkan daripada al-Abbas
r.a., daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini,
lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik
kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik
kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan
kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah
(Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluargakeluarga secara rapi, maka
Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku
adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala
nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu
bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan
melalui pernikahan yang sah)”.
(Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang
sahih).
Oleh kerana
keturunan Baginda s.a.w. adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isu
keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Nabi s.a.w.. Ini disebabkan
kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Quraisy telah mencela
Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.
·
Tabah Menghadapi Ujian
Baginda membesar
sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu
Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia 6 tahun,
ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda s.a.w.
telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. Selepas
itu, Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika
berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda
selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda
besar dan dewasa. Keyatiman Baginda ini telah disebut oleh al Quran al-Karim
dengan firman Allah Taala:
öNs9r&
x8ôÉgs
$VJÏKt
3ur$t«sù
ÇÏÈ
Maksudnya: “Bukankah Dia mendapati engkau yatim
piatu, lain Dia memberikan perlindungan?”
(Ad-Dhuha:
6)
·
Kesihatan Jasmani Yang Kuat
Rasulullah s.a.w.
menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di
perkampungan Bani Saad. Oleh itu, Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani
yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan
baik sekalipun masih kecil usianya. Bakat-bakat Baginda terasah dalam kemurnian
dan keheningan padang pasir, dibawah kilauan pancaran matahari dan udara yang
bersih.
·
Kecerdikan Baginda
Keunggulan Baginda
telah diketahui sejak kecil lagi. Tampak pada roman mukanya tanda-tanda
kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat Baginda.
Apabila Rasul s.a.w. datang ke majlis datuknya semasa zaman kanak-kanak, Baginda
duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu,
tiada seorangpun anak-anaknya (bapa saudara Rasul) akan duduk di atasnya. Oleh
itu, bapa-bapa saudara Baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. Lantas
Abdul Muttolib berkata: Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki
keistimewaan.
·
Kecerdikan Baginda
Sejak Baginda mula
mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang
bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti
yang jelas terhadap perkara ini. Kaabah telah dilanda banjir menyebabkan dindingnya
retak. Oleh itu, penduduk Makkah membuat keputusan meruntuhkannya dan memperbaharui
binaannya. Mereka melaksanakan keputusan itu. Namun, apabila pembinaan sampai
ke peringkat meletak Hajarul Aswad ke tempat asalnya, mereka bertengkar tentang
siapakah yang akan mendapat penghormatan untuk meletak Hajarul Aswad ke
tempatnya. Setiap kabilah ingin mendapat penghormatan itu. Pertelingkahan
bertambah hebat sehingga mereka saling mengancam untuk berperang. Kemudiannya
mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu masuk
Bani Syaibah (salah satu pintu Masjidil Haram pent) sebagai hakim.
Sejurus kemudian,
orang pertama yang memasuki masjid melalui pintu itu ialah Rasulullah s.a.w..
Apabila mereka melihat Baginda, mereka berkata: Ini al-Amin (gelaran kepada
Rasulullah s.a.w.). Kami rela dengan hukumannya. Apabila Baginda diberitahu tentang
pertelingkahan tersebut, Baginda menyelesaikan masalah itu dengan penyelesaian yang
dipersetujui oleh semua pihak yang bertelingkah. Baginda membentangkan kain selendangnya,
kemudian mengambil Hajarul Aswad dan diletakkan ke atas kain itu. Baginda kemudiannya
menyuruh setiap kabilah niemegang hujung selendang. Apabila mereka mengangkatnya
dan Hajarul Aswad itu tiba ke tempat letaknya, Baginda mengambil dan meletakkannya
ke tempatnya dengan tangan Baginda. Mereka semua berpuashati. Allah telah mengelakkan
daripada berlaku pertumpahan darah orang-orang Arab melalui kecerdikan dan kebijaksanaan
akal Baginda sehingga ke satu tempoh yang hanya diketahui oleh Allah.
·
Kejujuran Baginda
Semasa remaja,
Baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan
kaumnya, Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, perjalanan
hidup mengikut landasan yang lurus dan reputasi baik. Ini menarik minat
Khadijah untuk memberi tawaran kepada Baginda agar memperniagakan harta
dagangannya melalui sebuah kafilah yang pergi ke kota Busra setiap tahun.
Khadijah telah menyerahkan harta dagangan kepada Baginda, sekali ganda lebih
banyak berbanding yang diberikan kepada lelaki daripada kaumnya sendiri.
Apabila Baginda pulang ke Makkah, hamba Khadijah, Maisarah telah menceritakan
kepadanya sikap amanah dan ikhlas Baginda. Khadijah juga melihat keuntungan
banyak yang diperolehi dalam perniagaan tersebut. Kesemua itu mendorong beliau
untuk menggandakan upah Baginda daripada yang telah dijanjikan. Perkara ini
juga menarik minat Khadijah untuk melamar Baginda.
Baginda telah
menerima lamaran Khadijah sedangkan Baginda 15 tahun lebih muda daripadanya.
Kata-kata Khadijah merupakan perakuan terbaik terhadap kebaikan akhlak Baginda
sebelum kenabian. Kata-kata ini beliau ungkapkan ketika menenangkan Baginda
yang pulang dalam keadaan menggeletar ketakutan setelah didatangi wahyu di Gua
Hira: "Tidak sekali-kali. Demi Allah, Allah tidak akan sekalikali menghina
kamu. Kamu menghubungkan silaturrahim, membela pihak yang lemah, memberi
pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang
berhak."
·
Cinta Kepada Pencipta
Beberapa tahun
sebelum diutuskan sebagai Nabi, Allah telah menimbulkan rasa cinta kepada
Baginda s.a.w., untuk pergi ke Gua Hira (sebuah bukit yang berdekatan dengan Makkah
dan terletak di barat laut Makkah). Baginda berkhalwah di dalamnya selama
sebulan (iaitu dilakukan dalam bulan Ramadhan.) kerana memikirkan tanda-tanda
kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Perkara ini berterusan sehingga
datang wahyu dan turunnya al-Quran al-Karim kepada Baginda.
·
Terpelihara dari Keseronokan Dunia
Rasulullah telah
dipelihara oleh Allah daripada segala perbuatan yang melalaikan dan tidak
berfaedah. Baginda s.a.w. tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan
remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda
daripada terlibat dalam gejala tersebut. Kitab-kitab sirah menceritakan dengan
panjang lebar, semasa usia remajanya, Baginda terdengar suara nyanyian daripada
salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan. Baginda teringin
menyaksikannya. Tetapi Allah menjadikan Baginda tertidur. Baginda hanya terjaga
setelah matahari panas terik. Baginda juga tidak terlibat bersama kaumnya
menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan bermain judi.
Baginda juga tidak pernah bercakap celupar dan berkata kesat.
·
Bersungguh-sungguh Mencari Rezeki
Diriwayatkan secara
sahih bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bekerja pada awal hidupnya sebagai seorangpengembala
kambing. Dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.,
Baginda pernah bersabda:
"Aku pernah mengembala kambing untuk
penduduk Mekah dengan upah beberapa qirath."
·
Pergantungan Hanya kepada Allah Taala
Sejak permulaan lagi
kehidupan Rasulullah dipenuhi dengan ujian yang banyak. Sesungguhnya Allah ingin
agar hati Nabi s.a.w. tidak bergantung selain hanya kepada-Nya. Tidak kepada
bonda, ayahanda, datuk bapa saudara mahupun tidak kepada harta, kekuasaaan dan
kepada selainNya. Lantaran pergantungan sebegini merupakan antara elemen
penting dalam pembinaan jatidiri Rasulullah. Sehingga Baginda tidak akan
berkata: "Ayah... ayah." Namun baginda berkata: "Tuhanku...
Tuhanku."
Rasulullah telah menunjukkan
keperibadianan yang berani sejak remaja lagi. Semasa umur Baginda s.a.w. 15
tahun terjadi Peperangan Fijar iaitu peperangan antara orang Quraish dan
sekutu-sekutu mereka dengan Qays bn 'Aylan. Dalam peperangan ini, Rasulullah
s.a.w. turut serta dan berperanan membekalkan anak panah kepada bapa-bapa
saudaranya, iaitu mempersiapkan untuk mereka anak-anak panah untuk dipanah. [
Ibn Hisham ]