Kisah Ringkas Nabi Muhammad
Dilahirkan di Makkah, Semenanjung Arab,
baginda adalah anak yatim piatu sejak kecil lagi dimana baginda dijaga oleh
datuknya, Abdul Muttalib bin Hasyim dan seterusnya bapa saudara baginda, Abu
Talib bin Abdul Muttalib. Baginda juga pernah bekerja sebagai pengembala
kambing dan saudagar serta perkahwinan pertamanya adalah ketika berusia 25
tahun dimana baginda telah bernikah dengan Khadijah binti Khuwailid (40 tahun).
Ketika Muhammad berumur 40 tahun, baginda
telah menerima wahyu yang pertama daripada Tuhan melalui malaikat Jibril ketika
sedang berada di Gua Hira. Tiga tahun setelah kejadian itu, baginda mula
berdakwah secara terbuka kepada penduduk Makkah dengan mengatakan "Tuhan
itu Esa" dan hendaklah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah (secara
harfiahnya membawa maksud Islam) dan ia adalah satu cara hidup (الدين ad-Din) yang diterima Allah sahaja.
Nabi Muhammad menerima beberapa orang
pengikut pada awalnya yang terdiri daripada pelbagai golongan. Ajaran yang
dibawa oleh baginda mendapat tentangan yang hebat dalam kalangan penduduk
Makkah malahan mereka dilayan dengan teruk dan zalim. Oleh itu, Muhammad telah
menghantar beberapa orang pengikutnya ke Habsyah pada 614 M sebelum baginda dan
pengikutnya lain di Makkah berhijrah ke Madinah (dahulu dikenali sebagai
Yathrib) pada tahun 622 M.
Peristiwa penghijrahan Muhammad itu
menandakan permulaan bagi kalendar Islam atau takwim Hijrah. Di Madinah,
Muhammad telah menyatukan semua suku kaum dibawah Piagam Madinah. Setelah
bersengketa dengan penduduk Makkah selama 8 tahun, baginda membawa 10,000
pengikutnya ke Makkah serta menakluknya. Muhammad dan para pengikutnya telah
memusnahkan patung berhala yang terdapat di Makkah.[10] Pada tahun 632 M,
beberapa bulan selepas peristiwa Haji Wida atau Haji Perpisahan, Muhammad telah
jatuh sakit lalu wafat. Ketika kematiannya, hampir seluruh Semenanjung Arab
berada di bawah naungan Islam dan bersatu dengan tatanegara Islam.
Kelahiran Rasulullah
Baginda lahir dari Keturunan Quraisy
(Bahasa Arab قريش).
Nabi Muhammad telah diputerakan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20
April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahab, adalah anak perempuan
kepada Wahab bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah
anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail, anak
kepada Nabi Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.
Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran
baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam
tahun, menjadikannya seorang anak yatim piatu. Menurut tradisi keluarga atasan
Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang
menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di
pergunungan selama beberapa tahun.
Dalam tahun-tahun itu, baginda telah
dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda
dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda
dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu
mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani
bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).Sejak kecil, baginda
tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan
sosial arab jahiliyyah yang merosakkan dan penuh kekufuran.
Ketika Remaja
Dalam masa remajanya, Nabi Muhammad
percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat
sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi
orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan
mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua
kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu
seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain,
sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang
amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang
bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.
Rumahtangga
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah
saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan
perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda
diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria).
Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan
keuntungan luar biasa.
Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran
dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk
mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah
bahagia. Mereka dikurniakan 6 orang anak (2 lelaki dan 4 perempuan) tetapi
kedua-dua anak lelaki mereka, Qasim dan Abdullah meninggal semasa kecil.
Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah
az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah Khadijah
meninggal pada usia 64 tahun. Seorang lagi anak baginda adalah hasil
perkahwinan baginda dengan Mariah Al-Qibtiyyah. Putera baginda bersama Mariah
bernama Ibrahim itu juga meninggal semasa kecil.
Ku lihat Hijau |
No comments:
Post a Comment